BINTULU: Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2022 yang bertemakan 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama' mewarnai kemeriahan hari bersejarah itu di Lapangan Terbang Lama Bintulu, pada malam Jumaat.
Terjemahan tema itu terserlah dengan kehadiran sekitar 10,000 orang ramai dari pelbagai kaum yang membanjiri tapak sambutan seawal jam 5 petang.
Kehadiran Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib sebagai tetamu kehormat turut memeriahkan lagi sambutan ini.
Turut hadir, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri bertanggungjawab bagi sambutan berkenaan, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki serta dif-dif kehormat yang lain.
Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi sambutan berkenaan, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom serta dif-dif kehormat yang lain.
Sambutan pada kali ini dimeriahkan dengan pelbagai pengisian setelah dua tahun tidak diraikan secara besar-besaran.
Persembahan kebudayaan daripada etnik tempatan di bahagian Bintulu seperti Iban, Orang Ulu, Melanau, Cina, Melayu, Bidayuh, Kadayan dan Vaie menyerlahkan lagi tema pada tahun ini yang sinonim dengan perpaduan kaum di Sarawak.
Selain itu, orang ramai yang hadir turut berhibur bersama artis tempatan dan acara kemuncak diakhiri dengan persembahan bunga api berirama. -EDISI UKAS
Sumber dari : UKAS